Mengikut
sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud ‘Masjid Paling Jauh’, terletak di
Baitulmaqdis atau ‘Jerusalem’ bagi orang Yahudi. Masjid itu terbina di
kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi
kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.
Tidak
jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang
asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika
peristiwa Israk Mikraj. ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid
Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar
al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis. Masjid al-Aqsa adalah
tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’
dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif.
Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya
al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh
tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam
al-Quran.
Masjid
al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam
percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada
malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan
kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya. Ia pernah
menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah
al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah.
Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.
Masjid
itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua
Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M),
namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni
Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.
Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah
Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi
pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada
1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula
yang kekal sehingga hari ini.
Ketika
tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan
Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan,
mimbar, menara dan struktur dalaman. Apabila Tentera Salib menawan
Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana
dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia
dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu
berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf
Islam Pihak Berkuasa Palestin.
Laporan
terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana
kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian
itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel
memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan
baratnya. Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar
dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di
bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan
Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong
berhampiran bahagian barat masjid pada 1984. Ketika memulakan projek
penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi
Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong
Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis). Israel mendakwa, penggalian itu
satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang
tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman.
Terowong
itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk
terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa
sebarang justifikasi. Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke
atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid
al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu. Malah, apakah
manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana
hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama. Pada Februari
2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina
semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari
Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba
memusnahkan asas masjid. Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat
Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah
mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.
Dalam
laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008,
sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat
Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah
Masjid al-Aqsa. Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon
itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk
menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis. Mereka menggesa
dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan
suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk
Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan
Masjid al-Aqsa.
Akhbar
Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel
mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan
yang disebut. Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar
Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah
penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu
akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis
adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam. Mohammad Abu
Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal
antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa
Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa
penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa
melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel. Abu Hdeib
berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam
asas Masjid al-Aqsa.
Dalam
laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa
mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan
Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam
persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara
laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi. Yayasan itu berkata,
tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi
ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi
pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan
menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya
mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel,
termasuk di lorong Al-Sharif. Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan
3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong
baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi
menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis.
Kawasan
yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133
meter persegi yang diduduki Israel pada 1967. Ia juga mendedahkan
keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan
koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi
titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu
sejarah ilusi Yahudi. Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu
menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan
dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat
pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen
dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi
sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.
Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit
mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan
bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai
Istana Umayyad. Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada
waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke
kawasan bawah tanah masjid berkenaan.
Yayasan
memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid
suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh
kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid. Kawasan
penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak
yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan
Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.
Yayasan
memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas
Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan
rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus
berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam. Amaran itu sekali lagi
dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer
Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas
akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh
pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di
bawahnya. Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang
bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu
dari kawasan selatan masjid. “Israel perlu bertanggungjawab atas
sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan
kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata
Tayseer yang dipetik agensi berita Maan. Ulasannya berikutan runtuhan
kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu,
meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi
Hilwah.
Pada
masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain
pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar
daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan
penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat. Jawad
Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa
runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter
dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan
Israel. Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid
berhampiran di mana penggalian bertumpu. Pusat Hak Sosial dan Ekonomi
Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada
beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009.
Runtuhan
terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17
pelajarnya cedera. JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan
kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di
masjid Al Ein. Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan
bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja
mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian
itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh
bangunan di kawasan terbabit.
Memetik
kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak
berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat
runtuhan dinding masjid.”
Halaman Sekitar Masjid al-Aqsa (gambar bawah)
Sumber : aku-macjay.blogspot.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar